Monday, February 14, 2011

Kesian Dia.....


nak tau ke kenapa tajuk kat atas tu kesian?? huhu.. begini al-kisahnya...
hari ni bangun seawal pukul 5.30 pagi.. punye la sejuk.. kata org "sejuk gile".. bangun dengan penuh semangat. tak pernah gosok seluar, pegi gosok seluar. hehe.. bukan pe.. nak nampak kemas masa first day.. da abis mandi,solat semua, keluar rumah seawal pukul 7 pagi. hampir 1 jam perjalanan, sampai la.. masuk pukul 9. tapi sampai pukul 8.. hahaha... terawal 1 jam pulak.. pi cari pulak kedai makan.. jumpa bistro mamak... tengok-tengok tak macam bistro pun... macam kedai mamak biasa je.. tapi, tak pe la... memandangkan perut ni nak sangat berisi. jam dah pukul 8.15 pagi. masih ada lagi baki dalam 45 minit.. tunggu je la kat kedai mamak tu sampai 8.30.. pastu terus gerak ke tempat kerja yang tidak beberapa jauh dari situ. sampai-sampai duduk la menunggu macam tunggul batu.. sampai la pukul 9 pagi...  tunggu punya tunggu, "ish.. mana la dia orang ni, sorang pun tak nampak. ke, dia org ni cuti. kalau cuti, kenapa tak bagi tau aku??" itu la soalan yang berguling-guling kat kepala otak aku ni. Orang yang kat situ da muak agaknya tengok muka aku.. hahaha... lantak la. aku tak kacau dia orang pun.. dah setengah jam pun aku tunggu, masih jugak takde orang datang... memang sahih la dia orang ni cuti! ape lagi, menyumpah-nyumpah la aku sorang-sorang kat situ.. matahari pun makin naik, last-last, ambik keputusan nak blah dari sini, dengan hati yang sangat panas dan membara.. nak balik, macam awal sangat.. nak jalan-jalan pun takde kawan.. nak pergi mana?? akhirnya aku pun buat keputusan untuk balik..

kesimpulan kat sini, cerita ni takde la ape sangat, cuma nak selitkan sedikit pengajaran.. ada 2 watak yang nak digambarkan bahawa kita ni manusia memang tidak lari daripada sifat lupa dan malas... 


1. Majikan perlulah memaklumkan kepada pekerja dari semasa ke semasa jika berlaku sesuatu yang terjadi contohnya seperti cuti dan sebagainya. ini penting bagi mengelakkan diri daripada terlibat dengan masalah perselisihan faham yang akhirnya membawa kepada rasa tidak puas hati kedua-dua belah pihak.
2. Pekerja pula, haruslah saling bekerjasama antara dengan pihak pengurusan. Ia juga penting bagi mengelakkan berlakunya krisis di tempat kerja. dan janganlah mengambil sikap mementingkan diri sendiri. contohnya apabila terdapat cuti umum, jika majikan terlupa untuk memaklumkan kepada pekerja, pekerja perlu mengambil langkah seperti mengingatkan majikan mengenai cuti umum tersebut. Begitu juga dengan rakan-rakan sekerja, tolong menolong, ingat mengingati adalah perlu untuk mengekalkan keharmonian dalam suasana berkerja..

KEMPEN ANTI ZINA DILANCARKAN


SHAH ALAM - Kerajaan Negeri tidak menghalang rakyat Selangor untuk meraikan sambutan Hari Kekasih, sebaliknya serbuan dan operasi mencegah maksiat hanya untuk menyedarkan masyarakat beragama Islam sahaja. 

Kerajaan Negeri semalam melancarkan Kempen Anti Zina siri ketiga untuk mengatasi masalah sosial sempena Hari Kekasih. 

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, usaha ini bukanlah tindakan menghalang pergerakan golongan belia, sebaliknya menjaga maruah golongan muda beragama Islam. 

“Janganlah apabila serbuan dilakukan, ada yang katakan Selangor ketinggalan dari menggalakkan pergaulan sebaliknya kami hanya menghalang pergaulan bebas sahaja. 

“Dalam usaha ini kita bukan mahu kekerasan, hanyalah nasihat tentang perkara yang perlu kita perbetulkan, oleh yang demikian kita perlu mencegah dengan cara yang baik,” katanya ketika merasmikan kempen semalam. 

Menurutnya, program ini merupakan salah satu aktiviti yang dirancang di bawah Program Generasi Idaman Selangor (GeMS) bertujuan untuk melahirkan golongan muda yang berguna kepada bangsa dan negara. 

“Kasih sayang bukan satu perbuatan yang berdosa, sebaliknya maksiat merupakan perkara yang perlu dihindari terutama kepada golongan muda yang belum berkahwin,” katanya. 

Kempen Anti Zina terbahagi kepada tiga fasa iaitu fasa pertama merupakan program pelancaran yang disempurnakan oleh Menteri Besar semalam. 

Fasa kedua pula melibatkan kempen mengedar risalah berhubung isu gejala sosial, pergaulan bebas dan pembuangan bayi oleh Jabatan Kerajaan Negeri, Badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan. 

Manakala, fasa ketiga pula merupakan program pemeriksaan ke lokasi-lokasi panas di seluruh Negeri Selangor oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang dilakukan pada Hari Kekasih. 

Sementara itu Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa semua ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan golongan remaja di Hari Kekasih bagi mengelakkan berlakunya perkara negatif seperti maksiat dan masalah pembuangan bayi. 

Timbalan Yang Dipertua Abim Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya mahu kesemua ahli keluarga tidak mengambil mudah isu Hari Kekasih. 

Menurutnya, golongan remaja perlu dipantau segala pergerakan mereka bagi mengelakkan perkara negatif mempengaruhi minda mereka terutama dalam menyambut Hari Kekasih ini. 

“Semua agama tidak pernah menyuruh penganutnya untuk melakukan perkara negatif termasuk ketika berlangsungnya Hari Kekasih. 

“Oleh yang demikian semua ibu bapa perlu mengambil peranan dalam memantau anak-anak mereka di Hari Kekasih nanti, kerana peranan ibu bapa juga penting dalam memastikan gejala negatif tidak menular di negara ini,” katanya. 

Menurutnya, Abim khuatir isu pembuangan bayi dan maksiat akan berleluasa ketika berlangsungnya Hari Kekasih ini. 

Sebelum ini, Pas telah merancang untuk menggerakkan operasi bagi membendung kegiatan tidak bermoral semasa sambutan Hari Kekasih. 

Beliau turut mengharapkan rakan-rakan di kalangan bukan Islam agar menghormati usaha melarang muda-mudi Islam meraikan Hari Kekasih.


* petikan dari Sinar. Bagi saya kempen ini perlu diteruskan bukan hanya perlu diteruskan hanya pada hari valentine sahaja... Tetapi pada hari yang lain.