Monday, February 14, 2011

KEMPEN ANTI ZINA DILANCARKAN


SHAH ALAM - Kerajaan Negeri tidak menghalang rakyat Selangor untuk meraikan sambutan Hari Kekasih, sebaliknya serbuan dan operasi mencegah maksiat hanya untuk menyedarkan masyarakat beragama Islam sahaja. 

Kerajaan Negeri semalam melancarkan Kempen Anti Zina siri ketiga untuk mengatasi masalah sosial sempena Hari Kekasih. 

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, usaha ini bukanlah tindakan menghalang pergerakan golongan belia, sebaliknya menjaga maruah golongan muda beragama Islam. 

“Janganlah apabila serbuan dilakukan, ada yang katakan Selangor ketinggalan dari menggalakkan pergaulan sebaliknya kami hanya menghalang pergaulan bebas sahaja. 

“Dalam usaha ini kita bukan mahu kekerasan, hanyalah nasihat tentang perkara yang perlu kita perbetulkan, oleh yang demikian kita perlu mencegah dengan cara yang baik,” katanya ketika merasmikan kempen semalam. 

Menurutnya, program ini merupakan salah satu aktiviti yang dirancang di bawah Program Generasi Idaman Selangor (GeMS) bertujuan untuk melahirkan golongan muda yang berguna kepada bangsa dan negara. 

“Kasih sayang bukan satu perbuatan yang berdosa, sebaliknya maksiat merupakan perkara yang perlu dihindari terutama kepada golongan muda yang belum berkahwin,” katanya. 

Kempen Anti Zina terbahagi kepada tiga fasa iaitu fasa pertama merupakan program pelancaran yang disempurnakan oleh Menteri Besar semalam. 

Fasa kedua pula melibatkan kempen mengedar risalah berhubung isu gejala sosial, pergaulan bebas dan pembuangan bayi oleh Jabatan Kerajaan Negeri, Badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan. 

Manakala, fasa ketiga pula merupakan program pemeriksaan ke lokasi-lokasi panas di seluruh Negeri Selangor oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang dilakukan pada Hari Kekasih. 

Sementara itu Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa semua ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan golongan remaja di Hari Kekasih bagi mengelakkan berlakunya perkara negatif seperti maksiat dan masalah pembuangan bayi. 

Timbalan Yang Dipertua Abim Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya mahu kesemua ahli keluarga tidak mengambil mudah isu Hari Kekasih. 

Menurutnya, golongan remaja perlu dipantau segala pergerakan mereka bagi mengelakkan perkara negatif mempengaruhi minda mereka terutama dalam menyambut Hari Kekasih ini. 

“Semua agama tidak pernah menyuruh penganutnya untuk melakukan perkara negatif termasuk ketika berlangsungnya Hari Kekasih. 

“Oleh yang demikian semua ibu bapa perlu mengambil peranan dalam memantau anak-anak mereka di Hari Kekasih nanti, kerana peranan ibu bapa juga penting dalam memastikan gejala negatif tidak menular di negara ini,” katanya. 

Menurutnya, Abim khuatir isu pembuangan bayi dan maksiat akan berleluasa ketika berlangsungnya Hari Kekasih ini. 

Sebelum ini, Pas telah merancang untuk menggerakkan operasi bagi membendung kegiatan tidak bermoral semasa sambutan Hari Kekasih. 

Beliau turut mengharapkan rakan-rakan di kalangan bukan Islam agar menghormati usaha melarang muda-mudi Islam meraikan Hari Kekasih.


* petikan dari Sinar. Bagi saya kempen ini perlu diteruskan bukan hanya perlu diteruskan hanya pada hari valentine sahaja... Tetapi pada hari yang lain. 

No comments:

Post a Comment